JOHOR BAHRU: Selepas dua hari persidangan Dewan Rakyat berlangsung, rakyat berpandangan perlu ada pindaan Peraturan Mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.

Rata-rata rakyat yang ditemui di Johor menyatakan, ia menjadi keperluan bagi setiap Ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pihak pembangkang, sentiasa menjaga adab, perkataan serta tingkah laku semasa mengeluarkan hujah dalam berbahas atau melontarkan pandangan.

Penjawat awam, Nor Liyana Mohd Yusof berkata, ini kerana setiap pemimpin perlu menunjukkan contoh yang terbaik kepada rakyat.

"Bagi pendapat saya, pindaan mesyuarat itu perlu untuk Ahli Parlimen bersuara dengan lebih berhemah dan tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

"Nak suarakan pendapat perlu tetapi kita harus keluarkan dengan kata-kata berhemah dan jaga aib sesama sendiri," katanya.

Bagi penjawat awam Mohd Farid Faizul Rizal Zakaria pula, ahli politik boleh berikan pandangan bernas dan ia tidak perlu disampaikan dengan cara yang terbaik.

"Pada pandangan saya, sebagai rakyat Malaysia, saya rasa perlu untuk mewujudkan satu kata pasti, dapat mewujudkan kerjasama serta keharmonian yang baik dan misi matlamat akan sampai.

"Ahli politik boleh beri pandangan bernas tetapi perlu kata dengan baik sebab mereka merupakan contoh kepada rakyat.

"Kita yakin mereka boleh beri kerjasama, berkata secara baik dan boleh beri impak kepada rakyat Malaysia," katanya.

Namun bagi pekerja swasta, Muhammad Zainal, sekiranya semua Ahli Parlimen boleh bertindak secara matang ketika bersidang, pindaan itu tidak diperlukan.

"Sebagai rakyat yang cintakan negara, saya berharap semua pemimpin dapat bersatu dalam apa konteks terutamanya perpaduan.

"Kalau pemimpin dapat beri contoh baik, kita dapat hadapi rintangan bersama, saya harap ahli Dewan Rakyat dapat bersatu padu cari penyelesaian untuk tangani maslah yang kita hadapi sekarang.

"Dari segi pindaan itu, saya rasa jika pemimpin tunjukan sikap matang, sebarang pindaan tidak perlu dilakukan, tapi sekiranya ia perlu untuk mengawal emosi atau apa juga tindakan di masa hadapan, maka ia harus dilakukan untuk beri garis panduan kepada pemimpin akan datang," katanya.