Skip to main content
Advertisement

Politik

PKR Negeri Sembilan harap isu pentadbiran negeri segera diselesaikan - Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin berkata keadaan semasa turut menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian berpanjangan. - Foto fail
Advertisement

SEREMBAN: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mengharapkan isu melibatkan institusi dan pentadbiran negeri ini dapat segera diselesaikan untuk memastikan pentadbiran kerajaan serta kepentingan rakyat tidak terus terjejas.

Pengerusinya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkembangan semasa bukan sahaja melibatkan persoalan perlembagaan dan institusi diraja, malah juga menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Bekas menteri besar itu berkata ketidaktentuan berkaitan kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.

"Urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek berpotensi terkesan dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga, serta memberikan kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

"Pelantikan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta anggota majlis juga tidak boleh terus tergantung kerana kedua-dua ini menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat pada peringkat akar umbi dan berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan," katanya menerusi Facebook di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata keadaan semasa turut menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian berpanjangan.

Aminuddin berkata semua pemimpin politik perlu mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Semalam Menteri Besar Datuk Ismail Lasim menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hampir tiga jam di Istana Hinggap di sini.

Pertemuan itu difahamkan susulan isu berkaitan pentadbiran serta isu semasa negeri.

Sebelum ini, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 Sept dan pembatalan itu diwartakan pada 24 Sept.

Exco terlibat ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement