Skip to main content

Politik

PKR perlu terus perjuang reformasi - Nurul Izzah

lala, hawaii
Nurul Izzah berkata perjuangan parti itu yang lahir daripada gelombang reformasi, tidak seharusnya terhenti setelah menjadi kerajaan, sebaliknya perlu diteruskan agar menjadi legasi kepada generasi akan datang. - Gambar/ Bernama
Advertisement

MELAKA: Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mahu reformasi diperjuangkan secara berterusan, sama ada di dalam parti mahupun dalam pentadbiran dan dasar kerajaan.

Beliau berkata perjuangan parti itu yang lahir daripada gelombang reformasi, tidak seharusnya terhenti setelah menjadi kerajaan, sebaliknya perlu diteruskan agar menjadi legasi kepada generasi akan datang.

“Kerana itu, kita tidak boleh berhenti berjuang hanya kerana sudah berada dalam kerajaan, sebaliknya anggota parti perlu terus melakukan reformasi secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Sebagai contoh, Nurul Izzah yang dikenali sebagai “Puteri Reformasi” itu berkata pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diperjuangkan PKR sebelum ini, mampu direalisasikan apabila parti berkenaan mempunyai kuasa dalam kerajaan.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh di bawah Kerajaan MADANI, juga perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.

Nurul Izzah berkata ini termasuk peningkatan peluang pekerjaan, ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peluang lebih besar untuk wanita dan golongan muda menyertai ekonomi arus perdana.

“Justeru, reformasi struktural perlu diteruskan, bagi memastikan struktur gaji lebih adil dan kadar upah meningkat selari dengan produktiviti,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan kepimpinan PKR supaya tidak melihat kuasa sebagai milik peribadi, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara.

“Jawatan berganti, gelaran pudar, nama akan senyap daripada disebut-sebut, tapi yang kekal ialah kerja yang kita tinggalkan dan nilai yang kita pertahankan dan itulah yang akan terus hidup selepas kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement