KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang selepas mereka meninggalkan parti itu dua tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018.
Saman atas dakwaan melanggar syarat bon difailkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti (plaintif) dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi di sini, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lepas.
Advertisement
Parti itu menamakan bekas Ahli Parlimen dan ADUN PKR iaitu Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk R. Santhara Kumar sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr. Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.
Dalam saman itu, PKR mendakwa bahawa di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Plaintif mendakwa telah melantik setiap defendan sebagai calonnya untuk bertanding dalam PRU14 dan berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, pada 24 Feb 2020, setiap defendan telah berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti. Mereka juga menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain PKR," menurut PKR dalam pernyataan tuntutan itu.
PKR memaklumkan pada 11 Mac 2020 parti memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan berkuat kuasa serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan bahawa keahlian setiap defendan telah ditamatkan.
"Melalui surat bertarikh 28 Julai 2020, PKR telah mengeluarkan tuntutan rasmi kepada setiap defendan bagi pembayaran jumlah tersebut, namun defendan-defendan gagal membayar bon berkenaan," dakwa PKR, yang turut memaklumkan bahawa bon yang dimeterai merupakan mekanisme untuk melindungi dan mengurangkan risiko kepada parti.
Sehubungan itu, PKR menuntut setiap defendan membayar bon berjumlah RM10 juta selain menuntut kos, faedah dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pengurusan kes bagi kedua-dua saman itu ditetapkan pada 17 dan 27 Mac ini.
-- BERNAMA