POLITIK
PKR teliti gesaan siasatan tatatertib, gantung keahlian sembilan Ahli Parlimen

Fuziah berkata parti tersebut juga sedang mempertimbangkan gesaan daripada ahli parti agar sembilan Ahli Parlimen itu digantung keahlian sementara susulan insiden tersebut. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang meneliti gesaan untuk menyiasat sembilan Ahli Parlimennya secara tatatertib berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media terbuka yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.
Ringkasan AI
- PKR Teliti Tindakan 9 Ahli Parlimen: Parti sedang meneliti gesaan agar sembilan Ahli Parlimen disiasat secara tatatertib dan digantung keahlian sementara selepas mereka mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan kehakiman.
- Laporan Akan Dibentang ke Majlis Pimpinan Pusat: Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan laporan rasmi akan dibentangkan dalam mesyuarat MPP dalam tempoh dua minggu untuk menentukan sama ada tindakan mereka melanggar kod etika parti.
- Desakan Meluas dari Akar Umbi: Gesaan siasatan dan penggantungan keahlian turut disuarakan oleh 30 Ketua Cabang PKR dari Johor dan Kedah, menunjukkan tekanan dalaman terhadap tindakan sembilan wakil rakyat tersebut.
"Gesaan tersebut sudah pun sampai kepada saya, dan saya telah dimaklumkan mengenainya. Kini, Pejabat Setiausaha Agung akan meneliti dan mengambil tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Fuziah, laporan itu akan dikaji berdasarkan kod tata etika parti bagi menentukan sama ada tindakan mereka melanggar peraturan parti.
"Saya hanya menjalankan tugas. Yang akan berbincang dan membuat keputusan adalah MPP. Kami mempunyai kod tata etika, jadi perlulah dikaji sama ada tindakan itu melanggarnya atau tidak," katanya.
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan Ahli Parlimen lain dari parti itu tampil dalam satu sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.
Semalam, 19 Ketua Cabang PKR Johor dan 11 Ketua Cabang PKR Kedah turut menggesa agar siasatan tatatertib dilakukan dan keahlian sembilan Ahli Parlimen itu digantung sementara.
Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan bahawa desakan tersebut telah diterima oleh pejabatnya lebih awal sebelum ia disebarkan kepada media.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami