KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) akui wujud pelawaan kerjasama politik melibatkan Pas bagi menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurut Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, perkara itu pernah dimaklumkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya sekadar pemakluman dan tiada sebarang keputusan yang diputuskan.

"Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pernah ceritakan perkara ini dan kita (pemimpin PN) hanya senyum sahaja.

“Sebab keputusan yang kita buat adalah untuk mempertahankan ideologi dan apa yang selama ini kita bawa.

“Mereka (Pas) sentiasa bersama dengan kita sebab PN itu bukan hanya Pas, tapi juga Bersatu dan juga banyak parti lain.

"Kita tidak mahu menjadi satu kumpulan yang tidak faham apa yang telah dipersetujui daripada asal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejuaraan Silat Terbuka Pendekar Seabad Universiti Malaya (UM) kali ke-14 di sini pada Rabu.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin pada Selasa mendedahkan bahawa cadangan Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan itu dikemukan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Dakwanya, cadangan itu dibuat selepas melihat kedudukan kerajaan yang dilihat goyah termasuk faktor penolakan orang Melayu terhadap UMNO.