KANGAR: Perikatan Nasional (PN) Perlis menzahirkan keyakinan bahawa ia mampu meneruskan kerjasama bersama UMNO di negeri itu bukan sahaja dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malah pada masa akan datang.

Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN), Mohd Shukri Ramli menjelaskan perkembangan positif juga telah ditonjolkan kedua-dua belah pihak terutama membabitkan persiapan dalam menghadapi PRU15 nanti.

Ia juga dilakukan meskipun wujud kemelut dalam kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat Pusat.

"Walaupun ada surat daripada Datuk Seri Zahid kepada Perdana Menteri, kita dengar daripada Pengerusi Perhubungan (UMNO) Negeri, (Datuk Seri Shahidan Kassim). Itu amat positif untuk PN negeri ini bekerjasama (dengan UMNO).

"Kita harap keadaan ini akan berlaku begitulah, itu harapan daripada Tuan Guru Haji Hadi, Presiden Pas yang mengharapkan bahawa gabungan tiga parti ini dapat diteruskan bersama parti-parti juga NGO Melayu Islam untuk bersama dalam satu gabungan untuk kita menghadapi pilihan raya, walau macam mana pun kita bersedia dalam apa juga keadaan insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan PN Perlis yang diadakan secara tertutup di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan perjumpaan PN Perlis yang diadakan hari ini, Shukri memaklumkan bahawa Muhyiddin selaku Pengerusi PN mengesahkan penubuhan Jawatankuasa PN di negeri Perlis.

Tambah beliau, Perdana Menteri juga mahu fokus dan tumpuan diberikan terutama dalam menyelesaikan permasalahan rakyat termasuk memulihkan ekonomi mereka tatkala berhadapan dengan pandemik COVID-19 ketika ini.

Turut diberi penekanan adalah penyatuan ummah yang mana akan menjadi tulang belakang kepada kelicinan pentadbiran bukan sahaja di peringkat negeri malah diperingkat Pusat.