AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka berjalan seperti biasa dengan pentadbiran dan bidang kuasa terhad.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sebagai kerajaan ‘caretaker’ beliau bersama barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) hanya memastikan proses pentadbiran kerajaan termasuk bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ketika ini.

"Mesyuarat Exco berjalan seperti biasa. Sebagai sebuah kerajaan 'caretaker' terdapat pembatasan kuasa dalam sesebuah pentadbiran.

"Jadi bagi memastikan kerajaan di bawah pimpinan SUK, kita kerajaan 'caretaker' ini, saya sebagai Ketua Menteri 'caretaker' dan Exco yang ada, sudah pasti membantu apa jua agar kerajaan sementara ini terutamanya bantuan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan webinar Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) 2021 peringkat negeri Melaka di Hotel MITC, hari ini.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad kemudian memaklumkan, Sulaiman akan mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang sedia ada.

Ahli MMKN yang terlibat akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan.