KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menolak penamaan Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri 'caretaker' selepas terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan Majlis Presiden PH menerusi kenyataan media pada Selasa.

"Majlis Presiden meneliti kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka semalam khusus berhubung penamaan Datuk Seri Utama Sulaiman Ali sebagai Ketua Menteri yang mengetuai Kerajaan ‘caretaker’ Melaka.

"Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui bahawa Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah Kerajaan ‘caretaker’ dan seterusnya merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel," jelas kenyataan itu.

Malah PH menegaskan mereka pendirian menolak pembubaran DUN yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan tatkala Melaka masih menghadapi wabak COVID-19 serta adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

"Oleh demikian Pakatan Harapan menolak penamaan DSU Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka.

"Perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti yang diketuai saudara Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Utama Idris Haron, dan blok minoriti yang diketuai Datuk Seri Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

"Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri," jelas kenyataan itu lagi.

Pakatan Harapan turut mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak patut diadakan ketika pandemik bagi mengelak berlakunya gelombang keempat penularan COVID-19.

Jelas Majlis Presiden PH lagi, pengisytiharan darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.

"Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan 'caretaker' diwakili oleh golongan majoriti ADUN-ADUN," kata kenyataan itu lagi.