TELOK MAS: UMNO tidak akan ‘gopoh’ dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebaliknya parti itu sedang mengumpulkan maklum balas daripada semua pihak termasuk pimpinan di peringkat bahagian sebelum ianya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Parti perlu mendapatkan maklum balas dan pandangan secara formal daripada kepimpinan dengan pelbagai kaedah.

“Menerusi dua mesyuarat yang diadakan semalam, barulah kita dapat mengumpulkan maklum balas untuk membuat kajian yang tepat sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Tidak ada keperluan mendesak untuk membuat keputusan (kerjasama) memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga belum mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau persiapan bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di sini pada Jumaat.

Terdahulu, pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bersidang kira-kira satu jam setengah di Menara Dato’ Onn, World Trade Centre malam Khamis, tiada sebarang keputusan mengenai PRN Melaka dimuktamadkan selepas DUN dibubarkan 4 Oktober lalu.

Ia termasuk isu agihan kerusi dan kerjasama di antara parti membabitkan UMNO dan parti komponen dibawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut katanya, perkara berkenaan hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat MKT UMNO akan datang sejurus pengumuman SPR yang dijadual Isnin ini.

“Apabila SPR akan mengumumkan pada Isnin barulah kita akan tahu bila PRN akan diadakan, maka selepas itu tentunya kita akan buat keputusan penting dari segi siapa kita mahu bersama serta apa jua bentuk persefahaman politik.

“Jadi tugas saya sebagai Setiausaha Agung, saya akan turun ke setiap bahagian jumpa jentera-jentera untuk pastikan kita menang pada PRN nanti,” tambahnya.