KOTA KINABALU: Kenyataan mengelirukan mengenai dakwaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berparti selepas meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan kenyataan tidak berasas sama sekali.

Menurut Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata GRS tidak hanya sekadar didaftar sebagai parti gabungan semata-mata malah juga sebagai parti politik yang mempunyai keahlian langsung bagi mana-mana individu yang ingin menyertainya.

Malah, katanya Hajiji juga memiliki keahlian secara langsung (direct membership) di dalam GRS.

"Dakwaan yang menyatakan bahawa Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah hilang ‘locus standi’ dan tidak layak menjadi Ketua Menteri atas sebab pengisytiharan keluar daripada Bersatu yang menyebabkan beliau tidak berparti adalah tidak berasas sama sekali kerana Hajiji serta ahli-ahli DUN (bekas Bersatu) telah menjadi ahli GRS melalui keahlian langsung (direct membership).

"Adalah tidak wajar bagi pihak yang tidak bertanggungjawab membuat andaian semata-mata dengan memberikan maklumat tidak berasas berkenaan status GRS kononnya hanya parti gabungan dan bukanlah sebuah parti politik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Masidi menambah, GRS telah didaftar dan diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan penggunaan logo GRS telah dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan anggota parti GRS terlibat dalam proses pilihan raya.

Justeru kata beliau, ini bermakna GRS merupakan sebuah parti politik mengikut takrifan ‘parti politik’ seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, 'Parti Politik' bermaksud mana-mana pertubuhan yang menurut mana-mana tujuan atau kaedahnya, tidak kira sama ada tujuan atau kaedah itu merupakan tujuan atau kaedah utamanya, atau semata-mata merupakan tujuan atau kaedah yang menjadi tambahan kepada tujuan atau tujuan-tujuan utamanya atau kepada kaedah atau kaedah-kaedah utamanya, mengadakan peruntukan bagi pertubuhan itu menyertai, melalui calon-calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri; atau.

"Mana-mana pertubuhan yang, walau apa pun apa-apajuayang terkandung dalam tujuan-tujuan atau kaedah-kaedahnya, menjalankan apa-apa aktiviti atau meneruskan apa-apa tujuan yang melibatkan penyertaannya, melalui calonnya, dalampemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri dan termasuklah gabungan pertubuhan sedemikian yang telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, katanya sebarang dakwaan mengenai kedudukan Hajiji hilang 'locus standi' dibuat secara melulu dan tidak mempunyai merit dengan mengambil kira status GRS sebagai parti politik yang sah di sisi perlembagaan.