Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh melahirkan iltizam untuk menjalankan amanah yang diberi dengan bersungguh-sungguh sekiranya parti itu diberi mandat menjelang pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu esok.

Suhaimi Sabudin berkata apa yang penting semasa pengundian esok adalah rakyat harus memilih wakil rakyat yang merupakan rakyat tempatan dan wakil rakyat yang dipilih harus mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

"Insyaallah, saya akan berkhidmat membantu menaikkan kembali Permatang Pauh yang ketinggalan 17 tahun," katanya pada satu sidang media di bilik gerakan BN di Bandar Perda.

Beliau juga berkata setakat ini sokongan terhadapnya daripada rakyat berbilang kaum cukup padu.

Suhaimi mengaku bahawa beliau bukannya seorang yang pandai bercakap.

"Saya tidak pandai bercakap tetapi saya ada nampak ciri-ciri kepimpinan yang ada pada diri saya.

"Ini kubu kuat PKR. Saya terpaksa berdepan dengan mereka," katanya.

Sementara itu, semasa mengulas tentang kemenangan BN di dalam PRK Rompin semalam, Suhaimi berkata kemenangan itu memberi semangat untuknya dan menggesa rakyat membuat pilihan yang terbaik esok.

PRK Permatang Pauh esok akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus pengundi Melayu.