BENTONG: Hujan dan jarak lebih 100 kilometer (km) tidak menghalang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang bekerja di luar kawasan untuk pulang menjalankan tanggungjawab.

Bagi pekerja swasta, Ahmad Amir Daniel Ahmad Yumazarki, 24, dia sanggup membonceng motosikal selama dua jam dari Petaling Jaya dan meredah hujan untuk tiba di kampung halaman di Felda Chemomoi.

“Ini kali kedua selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu, ini kita mengundi untuk (pilih) ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“Setakat ini, saya tengok semua berjalan lancar dan di saluran saya juga tersusun serta tidak mengambil masa yang lama.

“Pada saya tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, silalah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu ketika ditemui di Pusat Mengundi Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, di sini, pada Sabtu.

Ahmad Amir sebelum itu hadir bersama empat lagi ahli keluarganya untuk mengundi.

Sementara itu, pengundi muda yang juga pelajar, Nur Iffah Imanina Mohd Noor Azelee, 21, berkata, dia tiba malam tadi selepas bertolak dari Unisel Selangor (Unisel) bersama pakciknya.

Anak sulung daripada dua beradik itu yang juga generasi ketiga itu berharap wakil rakyat yang dipilih kelak boleh membawa lebih banyak pembangunan di kawasan DUN berkenaan.

“Saya berharap generasi yang akan datang ini (ADUN baharu) boleh membaiki jalan di sekitar Karak.

“Selain itu, perbanyakkan lampu jalan kerana kawasan di situ gelap dan berbahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.


Nur Iffah Imanina Mohd Noor Azelee (tengah) turut balik kampung untuk laksana tanggungjawab.,

Dalam pada itu pengundi terawal, Rokiah Said, 80, turut bersemangat keluar mengundi walaupun mengalami masalah kesihatan.

“Makcik ada masalah kaki dan mata… dan hari itu diserang strok.

“Tetapi tetap semangat… mana-mana pun makcik memang macam itu (semangat keluar mengundi). Hari mengundi, waktu gelap lagi dah ingat nak pergi mengundi. Selagi boleh jalan, makcik pergi juga (mengundi),” kata ibu kepada sembilan cahaya mata itu lagi.

Rokiah Said

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.