JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat mahu masalah miskin bandar di Parlimen Pulai diatasi selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang mahu menoktahkan kemiskinan.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, punca masalah miskin bandar perlu dikenal pasti, dan ia antaranya disebabkan oleh faktor kesihatan dan kurangnya peluang mendapatkan pekerjaan.

Justeru, beliau berpandangan masalah tersebut memerlukan pendekatan berbeza untuk diselesaikan bagi mengeluarkan kumpulan berkenaan dari kelompok miskin bandar.

"Masalah kesihatan contoh, dia pernah mengalami kemalangan dan isteri pula sukar (bekerja) sebab sakit. Mereka tidak mempunyai pendapatan tetap kerana kesukaran untuk bekerja.

"Jadi peranan ini tidak dapat dielak, maknanya pihak kerajaan (perlu) membantu dia dalam konteks kebajikan dan mungkin juga bantuan-bantuan tambahan lain supaya mendapat pendapatan yang mencukupi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Ambang Merdeka di Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Pengkalan Rinting, di sini.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata bagi mereka yang tidak mendapat peluang pekerjaan pula, kumpulan itu wajar diberikan latihan bagi meningkatkan kemahiran.

"Kalau mereka mampu bekerja, kita tingkatkan kemahiran mereka supaya ada kemahiran tertentu yang unik dan (memenuhi) pasaran serta mendapat pekerjaan yang baik.

"Selain itu, saya kira banyak polisi kerajaan sekarang ini ke arah meningkatkan tahap gaji rakyat seperti yang disebut oleh (Menteri Ekonomi), Rafizi Ramli iaitu kerajaan berusaha untuk tingkatkan gaji," katanya lagi.

Sementara itu, Suhaizan menambah usaha memupuk rasa cinta kepada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Ujarnya, perbezaan politik tidak sepatutnya menghalang masyarakat untuk meraikan hari bersejarah negara itu.

"Kita rasa perlu rakyat difahamkan tentang kepentingan menyambut kemerdekaan ini atas usaha yang telah dijayakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Generasi baharu perlu faham tentang pengorbanan mereka supaya ada dalam diri mereka rasa sayang kepada negara.

"Saya tengok di bawah ini (rakyat) mereka gembira. Kadang-kadang mereka bersama dengan PH dan ada masa dia gembira dengan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Kerusi Parlimen Pulai pada 9 September ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar; serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.