Sejumlah 40.13 peratus atau 24,050 daripada 59,927 pengundi telah menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sehingga 12 tengah hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau berpuas hati dengan proses PRK itu yang berjalan lancar.

Sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi dijangka keluar mengundi hari ini, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, lebih ramai golongan tua yang keluar mengundi berbanding pengundi muda.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zamby Abdul Kadir yang ditemui pemberita ketika melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, di sini berkata proses pengundian berjalan lancar walaupun berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.

"Difahamkan berlaku kekecohan di beberapa kawasan seperti di Kampung Bahagia kerana keadaan yang sesak dengan jumlah pengundi yang ramai dan penyokong kedua-dua parti berdiri terlalu dekat antara satu sama lain," katanya.

Beliau berharap tidak ada provokasi melampau daripada kedua-dua parti penyokong sepanjang proses mengundi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kekecohan di pusat pengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia dan Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam pagi tadi berlaku disebabkan keghairahan kedua-dua penyokong parti politik melakukan provokasi dan meraih undi di saat-saat akhir.

"Polis sentiasa memantau keadaan namun kekecohan yang berlaku berjaya dikawal anggota yang bertugas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Seramai 60,349 pengundi, terdiri daripada 25,310 pengundi Cina, 23,301 (Melayu) dan 11,468 (India) dan selebihnya bangsa lain, layak mengundi pada PRK kali ini.

Sementara itu, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi awal PRK itu, telah menjalankan tanggungjawab pada 27 Mei lepas.

PRK ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Pada PRU Mei 2013, Seah menang dengan majoriti undi 7,313 dalam pertandingan tiga penjuru.

Cuaca cerah pagi ini memboleh pengundi menunaikan tanggungjawab mereka seawal 8 pagi.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan isteri, Datin Yeoh Pooi Hoon mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz pada 9.10 pagi.

Sebanyak 35 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 59,927 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Parlimen Teluk Intan meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Bedamar dan Changkat Jong.

Semua pusat mengundi akan ditutup 5 petang ini, kecuali pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sungai Timah yang akan ditutup pada pukul 4 petang kerana mempunyai sedikit pengundi.

Penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Jalan Changkat Jong, di sini.

Pada pengundian awal 27 Mei lepas, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi.

Semalam, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Ahmad Adli Abdullah berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mampu mencecah 80 peratus, sama seperti peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Beliau juga menjangkakan keputusan PRK Parlimen Teluk Intan dapat diumumkan seawal pukul 9 malam.