JOHOR BAHRU: Sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran akan dibuka bermula 8 pagi esok bagi proses pengundian awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ia bagi membolehkan seramai 22,531 pengundi yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengundi awal itu terdiri daripada 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 lagi adalah anggota polis dan pasangan.

Daripada 63 pusat mengundi pula, sebanyak 30 pusat mengundi akan beroperasi sehingga pukul 12 tengah hari.

Sementara selebihnya akan ditutup pada pukul 2 petang dan 5 petang.

Berdasarkan senarai pusat mengundi, empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pemanis, Kemelah, Simpang Jeram dan Bukit Permai tidak terbabit dalam proses pengundian awal.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengundian berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi hanya akan dikira bermula jam 4 petang Sabtu ini (12 Mac).

PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac melibatkan 2,597,742 pengundi.

Daripada jumlah tersebut, 2,574,835 adalah pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis bersama pasangan serta 376 pengundi tidak hadir luar negara.