KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, parti politik dilihat sedang sibuk mencatur strategi masing-masing dalam memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Bagi Saintis Politik, Profesor Wong Chin Huat, PRN kali ini dilihat sangat dinamik namun beliau tidak menolak, mungkin berlaku persefahaman pilihan raya oleh parti politik tertentu untuk mengelak pertembungan sesama sendiri.

"Ini mungkin berlaku, apabila kita bincang kerjasama terdapat dua bentuk, satu adalah gabungan formal yang berkongsi manifesto dan simbol kalau dibenarkan.

"Manakala satu lagi persefahaman terhadap pengaturan parti mana yang berlawan kebanyakan masa memastikan bahawa cuma satu pihak parti daripada pihak bergabung untuk bertanding supaya undi itu tidak berpecah," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Khamis.

Tambah Wong, sejarah membuktikan wujud persefahaman politik pada tahun 2008 apabila Pas dan DAP di bawah Pakatan Rakyat (PR).

"Tetapi pada tahun 2008 pernah berlaku persefahaman berlainan dimana parti bersaing mewujudkan tiga penjuru untuk memecahkan parti lain misalnya Pas masuk kawasan majmuk untuk pecahkan undi UMNO dan DAP masuk ke kawasan majmuk untuk pecahkan undi Cina dan untuk membantu sesama lain," jelasnya lagi.


Tiga hingga empat penjuru

Mengulas mengenai percaturan parti politik yang bertanding pula, tambah Wong, dia tidak menolak kemungkinan persaingan  tiga hingga empat penjuru boleh berlaku di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

"Daripada pihak PH mereka mengakui tidak kuat berlawan BN satu dengan satu, maka mereka sanggup berunding untuk bersama dengan parti lain terutamanya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

"Sama ada ini akan merangkul Bersatu ini akan jadi persoalan besar, kerana pihak Bersatu tidak mahu DAP dan sekutu Bersatu iaitu Pas tidak mahu Amanah.

"Jadi apa yang mungkin kita lihat persefahaman sebahagian bermakna kebanyakan kawasan mungkin wujud tiga penjuru atau dua penjuru tapi sesetengah kawasan mungkin ada empat penjuru," katanya lagi.


Pintu UMNO-Pas dilihat tertutup?

Ujarnya lagi, meskipun tiada keputusan jelas mengenai Muafakat Nasional (MN) di antara Pas dan UMNO ketika ini, namun akar umbi UMNO katanya lagi mahukan parti itu mengulangi modal yang dijalankan pada PRN Melaka sebelum ini.

"Saya rasa UMNO sememangnya tidak ingin memberikan peluang kepada Pas dan Bersatu kerana Johor itu adalah kubu kuat UMNO sehingga 2018.

"Jadi kali ini PRN diadakan lebih awal adalah untuk memenuhi tuntutan akar umbi UMNO selama ini bahawa BN harus bertanding sendiri maka saya rasa kerana Pas enggan meninggalkan Bersatu maka pintu perundingan telah ditutup.

BACA: PRN Johor: PN muktamad agihan kerusi bersama Pas dan Gerakan seminggu lagi - Muhyiddin

BACA: PRN Johor: PKR, Amanah bertanding 20 kerusi, DAP 16 kerusi


"Apa yang Pas harapkan dia dapat bergabung dengan Bersatu untuk memecahkan undi sekurang kurangnya mengurangkan kemenangan bilangan kerusi BN supaya dalam PRU ke-15 UMNO tidak rasa begitu yakin untuk bertanding solo, itu yang paling bahaya kepada Pas," katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa gabungan itu membuka pintu kepada mana-mana parti pembangkang untuk bersama dalam menumbangkan UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor nanti.

Jelasnya,ia termasuk Ia termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan).

Dalam pada itu, perkembangan terkini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula memaklumkan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Johor. 

PRN Johor | Bersatu sedia kerjasama dengan UMNO