JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan lima calon mereka dahulu untuk kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor Selatan.

Dalam satu majlis di sini hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, pihak Majlis Pimpinan Negeri memutuskan untuk membuat pengumuman awal bagi membolehkan jentera memulakan gerak kerja mereka.

Mengakui memang ada masalah untuk menentukan calon yang benar-benar layak, di samping rundingan bersama parti komponen PH dan rakan pembangkang, Anwar berkata, apa yang penting adalah matlamat parti yang jelas perencanaan teratur.

“Keadilan ini parti majoriti Melayu, asas Melayu, tapi pelbagai kaum. Satu-satunya parti yang menampilkan tokoh semua kaum. Ini parti yang berani bertahan di bandar, bertembung di desa.

“Ini perbezaan kita. Sesetengah orang pilih hanya di bandar, tak berani terjun ke kampung. Kita bertarung di bandar, desa, kawasan India, Melayu, Cina dan lain-lain. Betapa sukar pun kita harus berdepan.

“Oleh itu saya doakan, mudah-mudahan semangat ini digilap untuk hadapi PRN Johor, dan seterusnya pilihan raya nasional, yang akan diadakan paling lambat setahun, paling cepat enam bulan. Tapi kita harus siap sekarang,” katanya lagi. 

Lima calon berkenaan ialah: 

1. Larkin – Dr Zamil Najwah Arbain, Bendahari Cabang Pasir Gudang
2. Kempas – Napsiah Kamis Maharan, Ketua Wanita Keadilan Johor
3. Bukit Batu – Chong Sen Sern, Setiausaha Cabang Tebrau
4. Tiram – Gopalakrishnan Subramaniam, Naib Pengerusi MPN Keadilan Johor
5. Pasir Raja – Mohd Fakhruddin Moslim, Setiausaha AMK Johor