Skip to main content

Politik

PRN Johor: Bakal calon disaran semak borang, bayar deposit lebih awal - SPR

TUARAN, 14 Nov — Petugas dewan membuat persiapan bagi menghadapi proses penamaan calon di pusat penamaan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 di Dewan Seri Sulaman, hari ini._BERNAMA
Semua borang pencalonan perlu dikemukakan di 56 pusat penamaan calon yang akan dibuka bermula 9 hingga 10 pagi. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 membuat semakan awal borang penamaan calon dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri bagi melancarkan proses penamaan pada Sabtu ini.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata semua borang pencalonan perlu dikemukakan di 56 pusat penamaan calon yang akan dibuka bermula 9 hingga 10 pagi.

Beliau berkata kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan berkenaan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Selain itu, mereka juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran sebagai bukti semasa mengemukakan kertas penamaan calon.

"Bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

SPR turut mengingatkan semua calon yang telah membayar deposit bahan kempen supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ia termasuk larangan menggunakan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan kempen melalui kenderaan serta menunggu atau berada dalam lingkungan 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta 5," katanya.

Selain itu, SPR menyeru semua bakal calon dan parti politik supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik serta lancar.

"SPR juga ingin mengingatkan bakal calon, penyokong dan pihak berkepentingan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, berikutan ramalan cuaca yang menunjukkan potensi hujan dan ribut petir di beberapa lokasi di Johor pada hari penamaan calon," katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu merancang perjalanan bagi memastikan keselamatan dan urusan keseluruhan proses penamaan PRN Johor berjalan lancar.

SPR menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor, manakala 27 Jun sebagai hari penamaan calon dan 7 Julai untuk pengundian awal.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement