MUAR: Anak sulung kepada bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian, Nornekman, 47, tekad meneruskan tugas bapanya menabur khidmat kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Meskipun haluan politiknya berbeza dengan menjadi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun ianya tidak menjadi batu penghalang buat dirinya untuk menyambung perancangan arwah bapanya, selain yakin perjuangannya mendapat restu.

“Saya sudah berkhidmat dengan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak tahun 2004 lagi dan arwah bapa saya memang menggalakkan saya keluar dari Johor menimba ilmu politik sebelum kembali ke sini.

“Sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pun saya sudah menyertai parti Pejuang dan langkah politik saya itu mendapat restunya,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui selepas Majlis Pengumuman calon parti Pejuang di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, rentetan pemergian Allahyarham bapanya pada Disember lalu, sebagai anak sulung beliau sudah menjalankan tanggungjawab menyelesaikan beberapa perkara di DUN berkenaan.

“Apabila bapa saya dijemput Ilahi, perkara pertama yang saya lakukan adalah melihat tugas-tugas arwah bapa yang belum diselesaikan di DUN Kempas ini dan ambil tanggungjawab melunaskan semuanya,” tambahnya.

BACA: PRN Johor: Anak Osman Sapian antara 42 calon Pejuang

Terdahulu, pada majlis yang diumumkan oleh Mukhriz itu, seramai 42 calon Pejuang dipertaruhkan pada PRN Johor yang bakal berlangsung 12 Mac nanti.

Selain Nornekman, Ketua Pejuang Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh turut dicalonkan di DUN Machap.