JOHOR BAHRU: Sekiranya pertindihan kerusi di antara parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak dapat dielakkan, parti itu akan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor.

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini berkata, partinya sentiasa memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang,

Kata Ahli Parlimen Muar itu lagi, fokus utama MUDA adalah membawa perubahan yang baik kepada negeri Johor.

“MUDA juga telah mengadakan siri-siri rundingan rasmi bersama pimpinan Keadilan - namun Keadilan telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calon di 20 kerusi, sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama MUDA.

BACA: PRN Johor: Syed Saddiq bertemu Anwar, bincang strategi PRN Johor

“Meskipun begitu, MUDA telah menyampaikan niat dan hasrat MUDA untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-Keadilan kepada rakan DAP dan Amanah.

PRN Johor | Anwar terima kunjungan Syed Saddiq

"MUDA juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama Keadilan,” katanya lagi.

Sebelum ini DAP dan Amanah telah memuktamadkan rundingan dengan MUDA, dan keputusan yang dicapai ialah parti pimpinan Syed Saddiq itu akan bertanding di enam kerusi yang diperuntukkan kepada DAP dan Amanah.

Enam kerusi itu ialah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, dan Bukit Permai.

Selain itu, media melaporkan, MUDA turut mengintai tiga lagi kerusi dari PKR iaitu Larkin, Kempas, dan Bukit Gambir, namun ditawarkan kerusi yang menjadi kubu kuat UMNO iaitu Tanjung Surat, Sri Medan, dan Semarang.

Dalam siri pengumuman calon PKR beberapa hari lepas, presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan nama bagi tiga kerusi yang diintai MUDA itu, sekaligus memberi bayangan rundingan antara mereka tidak menunjukkan hasil.

“MUDA menyertai Pilihan Raya Negeri Johor 2022 bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada negeri Johor dan Malaysia.

"Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor.

“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan Keadilan berkaitan kerusi MUDA-Keadilan, pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu in,” kata Syed Saddiq.