JOHOR BAHRU: Pimpinan kanan Barisan Nasional (BN) akan mengkaji dengan teliti tentang sebarang kemungkinan mengenai kerjasama politik dengan Pas, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun, di saat dan ketika ini, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, majoriti kepimpinan di semua peringkat, termasuk juga di akar umbi, lebih selesa jika BN bergerak solo dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Mohamad berkata, apa jua keputusan yang akan ditentukan nanti, sudah pasti ia adalah demi kebaikan BN.

“Kita kena melihat dengan teliti, kita akan mengkaji dengan teliti. Buat masa kini, majoriti kepimpinan di semua peringkat bahagian, akar umbi, mahukan BN bergerak solo dalam pilihan raya ini.

“Tetapi peringkat pemimpin tertinggi akan meneliti dengan sebaik-baiknya, sebelum apa jua keputusan yang akan dibuat, supaya apa yang diputuskan nanti semata-mata akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama parti komponen BN Johor di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, partinya tidak berpuas hati dengan tawaran empat kerusi sahaja oleh UMNO.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas berhasrat untuk mendapatkan kesemua kerusi yang gagal dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Pas menghormati hasrat UMNO untuk bergerak solo. Untuk Pas, kami telah menghulurkan tangan untuk bekerjasama demi perpaduan ummah. Menawarkan hanya empat daripada 56 kerusi, pada pandangan kami adalah tidak wajar.

“Tawaran kami adalah demi mengukuhkan kerjasama dan menyatukan ummah. Sasaran kami demi memastikan Pakatan Harapan tidak lagi memegang kuasa di Johor,” katanya seperti dilaporkan portal malaysiakini baru-baru ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pilihan Raya NegeriJohor

PAS-UMNO: Majoriti mahu BN berseorangan namun akan diteliti - Tok Mat

Mengulas mengenai pandangan pergerakan solo BN tidak akan memberi mereka majoriti dua pertiga DUN, Mohamad berkata, ia sebenarnya bergantung kepada kekuatan jentera parti.

“Apa yang penting ialah gerak kerja jentera. Kita perlu menjaga pengundi asas, dan meyakinkan pengundi atas pagar, yang dulu terpesona dengan fitnah, janji manis, ramai terpesona dengan janji-janji itu.

“Saya yakin YAB Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) dalam masa singkat, dapat meyakinkan, semua pihak bahawa ketenangan politik itu ada, dan untuk memberikan satu keadaan yang boleh berikan ruang lingkup baik untuk beliau mentadbir.

“Sebab itu beliau mahu mandat dan majoriti baik untuk menubuhkan kerajaan Johor yang stabil,” katanya lagi.

[TERKINI] PRN Johor | Sidang media pasca mesyuarat komponen BN