PULAI: Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan agar rakyat Johor dapat memberi ‘kejutan’ terhadap keyakinan UMNO dan Barisan Nasional tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Parti Keadilan Rakyat, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, naratif BN bahawa pilihan raya negeri ini adalah untuk mencari kestabilan dilihat satu alasan yang tidak meyakinkan.

Dakwanya lagi, apa yang terjadi ini tidak lain tidak bukan, hanyalah muslihat UMNO dan BN untuk mendesak pilihan raya umum diadakan lebih awal, dan seterusnya membebaskan pemimpin mereka yang terikat dengan kes mahkamah.

“Yang buat keputusan (bubarkan DUN) ini muslihat UMNO.

"Ia mempamerkan keangkuhan mereka, nak guna Johor sebagai permulaan menuntut pilihan raya umum, semata-mata nak bebaskan tokoh mereka dari rasuah.

“Mereka harus tahu, pilihan raya adalah untuk mendapat mandat jaga rakyat, bukan untuk pertahan satu dua ketua yang telah dihukum mahkamah,” tegasnya lagi.

Anwar berkata demikian sewaktu berucap di Ceramah Mega Pakatan Harapan di Bilik Operasi Utama N49 Kota Iskandar, di Pulai, malam tadi.

Turut menghadiri majlis itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Pengerusi Pakatan Harapan Johor Aminolhuda Hassan, serta calon PH untuk DUN Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad.

Dalam pada itu Anwar berkata, kenyataan pemimpin BN bahawa kestabilan diperlukan kerana majoriti kerajaan sebelum ini adalah tipis, merupakan satu lagi kenyataan yang sukar untuk diterima.

“Saya bagi contoh, kalau dia kata kerusi majoriti kecil, Negeri Sembilan (pimpinan PH) pun kecil.

"Dia kata kalau kerusi kecil, majoriti tipis, tak ada pelaburan datang Johor. Pasal apa Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan juga majoriti kecil, tetapi pelaburan meningkat tinggi dari BN perintah?

“Ini soal governance, pimpinan punyai kredibiliti, bukan pimpinan rasuah tak boleh fokus.

"Dia tidak fokus dalam soal pelaburan, tetapi dia hanya fokus soal politik. Sebab itu pelaburan tak sampai,” katanya lagi.