PONTIAN: Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan, bahawa UMNO hanya mahu merompak selepas mendapat kuasa, adalah kenyataan tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang ketua penerangan parti politik seperti Wan Saiful.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, jika membabitkan prinsip, Bersatu sendiri berdiri atas sokongan wakil rakyat daripada parti lain yang 'melompat' menyertai Bersatu.

"Itu satu perkara tak sepatutnya keluar daripada seorang Ketua Penerangan PPBM (Bersatu). Saya boleh juga cakap PPBM ini ‘Parti Pelompat Bersatu Malaysia’, kalau nak berlawan cakap.

"Sebab saya dah sebut tadi. Daripada 31 (wakil rakyat) tadi 25 melompat ke parti itu. Jadi PPBM parti pelompat. Kalau saya cakap begitu, marah bukan? Nak cerita pasal poket dan sebagainya adalah satu yang tidak bertanggungjawab bagi pihak dia,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas menghadiri Jamuan Muhibbah Menteri Besar Johor Bersama Masyarakat Tiong Hua, di Benut, malam ini.

Turut menghadiri majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang bakal mempertahankan kerusi DUN Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Wan Saiful dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa, Kerajaan Johor yang tidak stabil adalah kerana Hasni seorang menteri mesar yang gagal.

Selain itu, Wan Saiful mendakwa, yang sebenarnya tidak stabil itu, adalah poket dan akaun bank pemimpin Umno.

“Yang sebenarnya tidak stabil itu adalah poket-poket dan akaun-akaun bank pemimpin UMNO yang tidak dapat merompak dengan bebas, kerana kewujudan EXCO daripada PN (Perikatan Nasional) yang menjadi semak imbang dalam pentadbiran,” dakwa Wan Saiful.

Sementara itu, Hasni, dalam ucapannya berkata, beliau yakin Pontian dapat bersama-sama memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi Johor.

Katanya lagi, beliau telah memikirkan kaedah yang terbaik, supaya program ekonomi tidak terhenti setakat Johor Bahru sahaja, dan mengharapkan agar Masyarakat Tiong Hua dapat terus memberi sokongan kepada beliau dalam PRN nanti.