KUALA LUMPUR: Keupayaan Pas menggerakkan ahlinya mengikut arahan kepimpinan disifatkan antara kekuatan utama parti itu, terutama ketika berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, Pas merupakan sebuah 'regimented party' atau parti yang berdisiplin, dengan majoriti ahli akur terhadap setiap arahan dikeluarkan pucuk pimpinan.
Menurutnya, disiplin itu dapat dilihat menerusi arahan Pas kepada penyokongnya di Johor, apabila parti itu hanya bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun turut mengeluarkan pendirian mengenai kerusi lain yang tidak ditandingi.
"Dalam konteks PRN Johor, kerusi yang tidak ditandingi Pas, ahlinya diseru untuk mengundi Barisan Nasional (BN). Persoalannya di sini, apa sudah jadi kepada Perikatan Nasional (PN)?
"Sepatutnya PN yang mengeluarkan pekeliling kerana ini melibatkan polisi penting iaitu pendirian parti gabungan. Sekarang ini Pas dan Bersatu mengeluarkan kenyataan bersendirian.
"Apabila pertelagahan ini berlarutan terlalu panjang, bagaimana pendirian Pas untuk mengundi calon Bersatu? Begitu juga di kerusi yang Pas bertanding, adakah penyokong Bersatu akan mengundi Pas? Adakah akan berlaku undi silang," soalnya dalam program Agenda AWANI, di sini, pada Isnin.
Hisommudin bagaimanapun menegaskan, berdasarkan pemerhatiannya terhadap pola pengundian sebelum ini, penyokong Pas lazimnya akan mematuhi arahan parti dan menterjemahkannya ketika hari mengundi.
Seterusnya beliau memberi contoh kerusi Puteri Wangsa dengan komposisi pengundi majoriti Cina, sebagai antara kawasan yang bakal menguji tahap kesetiaan penyokong PAS sekiranya mereka diarahkan menyokong calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA.
"Di Puteri Wangsa, kita ada Teow Chia Ling dari MCA iaitu Barisan Nasional. Calon Melayu pula kita ada Maszlee Malik dari Pakatan Harapan dan Rashifa Aljunied dari MUDA.
"Jadi jika arahan dikeluarkan Pas untuk ahlinya mengundi calon BN, adakah mereka akan patuh dan mengundi calon MCA? Saya lihat kalau ada was-was, kemungkinan penyokong Pas tidak akan keluar mengundi di kerusi Puteri Wangsa," ramalnya.
Pada Isnin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi satu kenyataan menyeru pengundi tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Tegasnya, pendirian itu adalah untuk mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di Johor.