KUALA LUMPUR: Pentadbiran negeri Johor tidak lagi sepatutnya perlu terlalu terikat kepada keputusan kerajaan pusat untuk melaksanakan sesebuah pelan pembangunan.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat harus diperbaharui dengan cara desentralisasi supaya pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih menepati keperluan rakyatnya.

Beliau melihat ramai yang tidak memahami kepentingan Johor dan keperluan yang berbeza untuk menguruskan negeri tersebut, bercakap berdasarkan pengalaman seketikanya dalam kerajaan pusat dan beberapa siri perbincangan dengan para pegawai di Unit Perancangan Ekonomi.

“Mereka anggap Johor ini hanya sebagai salah satu negeri sahaja, mereka tak faham bahawa selatan Johor ini khususnya mempunyai ramai rakyat dari tempat lain yang bermastautin di sini.

“Populasi di sini sebenarnya besar dan kita perlukan lebih banyak hospital, sekolah, tempat rekreasi, tapi kerajaan negeri dengan apa yang mereka dapat daripada cukai tanah dan cukai-cukai sedia ada itu tidak cukup,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan pusat di Putrajaya tidak dapat menyelesaikan semua masalah di setiap 14 negeri di negara ini, maka sistem lama atas ke bawah itu perlu dinaik taraf seiring perubahan keadaan semasa.

Seiring itu, calon Pakatan Harapan (PH) N.46 Perling itu juga mencadangkan supaya cukai pendapatan yang dikutip daripada syarikat dan individu oleh kerajaan pusat boleh dikongsikan sebahagiannya dengan kerajaan negeri untuk membolehkan pembangunan yang diperlukan rakyat dilaksanakan.

“Mungkin 10 peratus, dan sebagai pulangannya kerajaan negeri menguruskan sendiri sistem kesihatan, pendidikan dan sektor-sektor lain.

“Sekarang ini kalau nak rancang laluan bas di Johor pun memerlukan kelulusan daripada Putrajaya. Putrajaya tidak boleh selesaikan semua masalah, jadi saya dan rakan-rakan dalam PH mahu memperjuangkan peranan kerajaan negeri dan hubungan baharu dengan pusat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI Johor Memilih yang dihoskan oleh Nazri Kahar. Tonton di sini:

PRN Johor: Hubungan kerajaan negeri-pusat perlu diperbaharui - Liew Chin Tong


Agenda AWANI: PRN Johor: Debaran 'Final Countdown'