SIMPANG RENGGAM: Semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak berada di tahap optimal.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan memanfaatkan sepenuhnya proses pengundian di samping memastikan kelangsungan sistem demokrasi yang adil biarpun berdepan kekangan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia secara amnya perlu menggalas tanggungjawab dalam menggalakkan rakyat keluar mengundi.

Selain itu, jentera-jentera parti juga, kata Anwar, perlu dikerahkan bagi membawa keluar sebanyak mungkin penyokong untuk mengundi pada PRN Johor nanti.

"Dalam sistem demokrasi, galakan kita ialah semua rakyat menggunakan hak mereka utk mengundi. Ini tanggungjawab SPR, tanggungjawab Kementerian Penerangan (Komunikasi dan Multimedia) dan tanggungjawab parti masing-masing untuk kerah seluruh pengundi dan anggota untuk keluar (mengundi).

“Ramai pengundi di Singapura, apakah dia nak guna SOP (prosedur operasi standard) yang ketat? Peraturan yang tak tentu arah? Ataupun cari jalan selesaikan masalah ini? Adakan PRN dalam kekangan COVID-19 dan selepas Raya Cina dan Cap Goh Mei. Oleh (yang) demikian cari jalan selesaikan memudahkan janganlah semua tumpukan kedutaan," kata Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PKR di sini, pada Sabtu.

Anwar berkata, SPR juga disaran untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu kira-kira 200,000 rakyat Johor yang terkandas di Singapura ekoran sekatan SOP untuk pulang mengundi.

Terdahulu media melaporkan, peratusan keluar mengundi pada PRN Johor dijangka rendah berikutan kekangan pengangkutan dan logistik selain pelaksanaan SOP susulan pandemik COVID-19.