Skip to main content

Politik

PRN Johor: Mazlan mahu bangunkan Kahang sebagai hab industri kecil

MAZLAN BUJANG
Calon PN bagi DUN Kahang, Mazlan Bujang, mahu menjadikan kawasan itu hab industri kecil berasaskan pertanian dengan memanfaatkan kedudukan strategik Johor berhampiran Singapura bagi merancakkan ekonomi setempat. (Kredit - Mazlan Bujang)
Advertisement

KLUANG: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, Mazlan Bujang mahu memanfaatkan kedudukan strategik Johor yang bersempadan dengan Singapura bagi merancakkan industri kecil berasaskan pertanian sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor itu berkata, Kahang mempunyai potensi besar untuk membangunkan sektor pertanian dan industri hiliran yang mampu memenuhi permintaan pasaran Singapura.

"Kita berada di sebelah Singapura. Sudah tentulah kita mendapat limpahan daripada ekonomi Singapura.

"Banyak industri kecil melibatkan pertanian boleh diwujudkan. Permintaannya ada di Singapura, pasarannya pun dekat. Disebabkan faktor geografi, itu adalah kelebihan Johor yang perlu dimanfaatkan," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Mazlan, pembangunan ekonomi tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh wakil rakyat, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan.

"Saya komited, jika diberi amanah, untuk duduk semeja bersama ketua masyarakat, agensi dan pegawai kerajaan bagi merancang masa depan DUN Kahang," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Mazlan berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), V. Rugendran, dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Sabri Abd Kadir.

Pada PRN Johor 2022, DUN Kahang dimenangi Barisan Nasional menerusi Datuk R. Vidyananthan dengan majoriti 6,698 undi.

Kerusi itu kini mempunyai 31,116 pengundi berdaftar.

Must Watch Video

Advertisement