KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, teka-teki mengenai sama ada Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO akan diperkukuhkan atau sebaliknya, terus menjadi tanda tanya.

Bagi penganalisis politik, Profesor Ahmad Marthada Mohamad, perkembangan terkini menerusi kenyataan dikeluarkan beberapa pemimpin Pas, ujarnya, dilihat berbeza dengan pemimpin tertinggi UMNO.

"Itu satu isu sangat menarik kerana hari ini kita lihat ia satu isu yang polemik kerana pemimpin Pas membuat beberapa kenyataan agak berbeza dengan beberapa pemimpin tertinggi UMNO.

"Kita lihat perkembangan terbaharu di Kelantan di mana UMNO memutuskan hubungan dengan Pas. Ini sangat 'menarik'... kalau kita lihat kenyataan pemimpin Pas pula, mereka katakan bahawa mereka tidak tahu menahu tentang perkembangan tersebut.

"Bagi saya, kedua-dua pemimpin sama ada daripada UMNO, mahupun daripada Pas perlu membuat kenyataan lebih jelas - ke mana hala tuju mereka sebenarnya," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.

Justeru, persoalan sama ada dua parti itu akan bekerjasama atau tidak, hanya terjawab sekiranya keputusan konkrit dibuat oleh pemimpin UMNO atau Pas.

"Apakah mereka ingin bersama dengan Muafakat Nasional (MN) ataupun dengan Perikatan Nasional (PN)?

"Kalau kita lihat, UMNO sebelum ini tidak begitu mahu bekerjasama, sebahagian daripada pemimpin UMNO kanan yang menyatakan bahawa mereka tidak lagi mahu bekerjasama.

"Namun, sebahagian kepimpinan tertinggi UMNO masih mahu meneruskan kerjasama dengan Pas terutama dalam mengukuhkan MN menjelang PRU15 nanti," katanya lagi.

Justeru, senario politik antara dua parti itu perlu diberi tumpuan terutamanya dalam PRN Johor.

"Apakah PRN di Johor ini akan menyaksikan fenomena yang sama berterusan atau Pas akan kembali bekerjasama dengan UMNO semula terutama dalam menghadapi PRN di Johor dalam menentang Pakatan Harapan (PH)?

"Ini satu senario menarik untuk kita perhatikan. Apakah langkah UMNO untuk menghadapi PRN di Johor ini akan berlaku tanpa kerjasama dengan Pas, ataupun mungkin selepas ini beberapa siri perbincangan akan dijalankan untuk mereka meneruskan kerjasama antara Pas dan UMNO," jelasnya lagi.

Sehingga kini tambah Ahmad Marthada, belum ada satu keputusan konkrit dibuat oleh kedua-dua parti itu berhubung hala tuju kerjasama Muafakat Nasional.