JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Mersing Datuk Abdul Latiff Ahmad hari ini mengesahkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau menumpukan usaha kepada tugasnya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), dan selaku Ahli Parlimen di kawasannya.

Abdul Latiff berkata, beliau akan memberikan sepenuh komitmen dalam membantu gerak kerja parti dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan kemenangan calon-calon.

“Susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak akan bertanding kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya juga menyeru kepada semua rakyat Johor agar menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi, dan membuat pilihan bijak terutamanya 700,000 pengundi baru termasuk 180,000 anak muda yang berusia 18-20 tahun, yang didaftarkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” katanya lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: 'Guna logo PKR strategi ikut demografi, bukan berpecah dari PH'

Sementara itu Setiausaha Akhbar Abdul Latiff, Mohd Ikhmal Abu Bakar memberitahu, kenyataan itu dibuat bagi menolak spekulasi bahawa AhlI Parlimen Mersing itu merupakan calon Menteri Besar Johor bagi Perikatan Nasional.

"Saya minta pihak-pihak tertentu agar tidak membuat sebarang spekulasi liar, tanpa merujuk kepada pihak yang sepatutnya," katanya lagi.

Terdahulu, portal The Vibes memetik sumber sebagai berkata, Abdul Latiff berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi DUN Tenggaroh, sebagai persiapan untuk menjadi Menteri Besar, seandainya Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti yang ditetapkan.

"Pengalaman Abdul Latiff sebagai Ahli Parlimen Mersing selama lima penggal, dan sebagai Menteri JPM, memberi beliau kelebihan berbanding calon-calon lain untuk kerusi tersebut, sekiranya beliau memilih untuk bertanding dan menang kerusi itu," menurut laporan itu lagi.

Setakat ini, Barisan Nasional sah meletakkan Datuk Mohamad Hasni untuk terus menjadi calon MB, manakala Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik pula disebut-sebut sebagai calon paling sesuai untuk Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Bersatu mempunyai dua Menteri Besar, iaitu Allahyarham Datuk Osman Sapian sewaktu era Pakatan Harapan, dan Datuk Dr Sahruddin Jamal sewaktu era Perikatan Nasional.

Osman, penyandang kerusi DUN Kempas, merupakan Menteri Besar ke-16 yang dilantik Sultan Johor selepas Pakatan Harapan buat pertama kalinya berjaya merampas negeri tersebut dari Barisan Nasional, sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14, pada tahun 2018.

Osman bagaimanapun meletakkan jawatan pada 13 April, 2019, dan digantikan dengan Dr Sahruddin, penyandang kerusi DUN Bukit Kepong, sebagai Menteri Besar ke-17.

Namun susulan kejatuhan Kerajaan PH, beliau turut meletakkan jawatan, dan digantikan penyandang kerusi DUN Benut, Datuk Hasni Mohammad dari Barisan Nasional.