MARANG: Pas sudah mempunyai anggaran kerusi yang akan ditandingi menerusi  Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya bagaimanapun akan mendapatkan perincian lanjut  daripada Pas Johor sebelum penilaian dilakukan.

Abdul Hadi berkata selain itu rundingan lanjut juga akan dilakukan bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) berkaitan pengagihan kerusi itu nanti.

“Kita akan dengar Pas Johor dan Pas Pusat, akan menilai, turun ke bawah, kawasan yang patut kita bertanding. (Tentang calon) belum dibincang dengan rakan-rakan kita,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: 'Guna logo PKR strategi ikut demografi, bukan berpecah dari PH'

Abdul Hadi berkata calon  yang akan diketengahkan nanti juga merupakan yang berpengetahuan, adil dan dapat menjalankan tugas dengan baik.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula jatuh pada 26 Februari dan tarikh untuk pengundi awal ditetapkan pada 8 Mac.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani Watikah Pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN negeri itu.