KOTA TINGGI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pembahagian kerusi untuk gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah diselesaikan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan pecahan kerusi bagi ketiga-tiga parti dalam PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

"Rundingan kerusi bagi PN di PRN Johor sudah selesai, perbincangan dibuat selama seminggu sahaja. Kita tidak pernah gaduh sebab kita nak lihat satu iltizam yang bersunguh-sungguh.

“Ada 56 kerusi, semua parti ada calon, tidak ada masalah, senarai calon pun sudah sedia.

"Kita akan bawa (senarai itu) kepada PDRM, SPRM dan Jabatan Insolvensi untuk pastikan mereka benar-benar bersih," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Johor, di Kota Tinggi, pada Jumaat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai bersama-sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PN dan juga Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas perdana menteri itu turut membayangkan PN sudah mempunyai nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.