MUAR: Kesesakan trafik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Johor susulan kepulangan pengundi luar, memberi petanda positif kepada sistem demokrasi negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyasarkan peratusan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mencecah sehingga 80 peratus.

Ini kerana, katanya, peratusan mengundi yang rendah tidak dapat mencerminkan kehendak sebenar rakyat negeri itu.

“Semalam dikatakan Muar ini sesak, mungkin ramai daripada luar sudah pun balik untuk mengundi pagi ini dan bagi saya ini adalah satu perkara yang amat penting.

“Ini kerana kalau peratusan jumlah pengundi agak rendah, ia tidak akan memcerminkan hakikat realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu,” katanya.

Beliau ditemui selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini.

Terdahulu, beliau dan isteri, Puan Sri Nooraine Abdul Rahman, tiba tepat jam 9.17 pagi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, melihat kepada trend sambutan yang menggalakkan sepanjang tempoh berkempen, beliau penuh yakin dengan sokongan pengundi terhadap PN.

Beliau bagaimanapun mengharapkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan menyasarkan peratusan mengundi sehingga 80 peratus.

“Dari tinjauan saya sejak beberapa hari turun ke seluruh pelusuk Johor ini saya lihat trend perkembangan yang agak menggalakkan dan sambutan pada gerakan kempen yang saya pimpin nampak boleh dikatakan cukup bersemangat dan jelas (pengundi) ada minat besar kepada PN.

“Apapun hari ini mereka lah yang akan menetukan apa mereka nak buat (keputusan), kita hormati dan cuma harapan saya jumlah pengundi akan keluar adalah 70 hingga 80 peratus,” katanya.

DUN Maharani yang berada di bawah Parlimen Muar menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Nor Farra Shamsudin, calon PN Abd Aziz Talib, calon Pakatan Harapan (PH), Nor Hayati Bachok, calon Pejuang Riad Ahmad calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) Ahmad Hasni Asmui Md Salleh dan calon bebas,Lim Kim Joo.

Nor Hayati merupakan penyandang kerusi itu selepas menewaskan calon BN, Ashari Md Sarip dan calon Pas Mohammad Taslim pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 lalu dengan majoriti 5,674 undi.