JOHOR BAHRU: Peratusan keluar mengundi yang tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 Sabtu ini dilihat berpotensi memberi kelebihan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH), khususnya di kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai ramai pengundi luar, muda dan atas pagar.
Penganalisis politik, Prof Madya Mazlan Ali berkata, faktor kestabilan politik di peringkat Persekutuan, indikator ekonomi yang bertambah baik serta bantuan kerajaan kepada rakyat termasuk inisiatif kewangan dan subsidi, boleh menjadi dorongan kepada penyokong PH untuk pulang mengundi.
Beliau berkata, pengundi yang menikmati manfaat daripada kestabilan kerajaan dan kedudukan ekonomi semasa berkemungkinan mahu memastikan kesinambungan pentadbiran PH, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri Johor.
“Pengundi-pengundi ini merasakan apa yang mereka nikmati sekarang seperti kestabilan politik, kedudukan ekonomi yang baik dan bantuan kerajaan kepada rakyat termasuk subsidi petrol dan diesel, akan mendorong mereka untuk memastikan kerajaan PH kekal.
“Ini mungkin akan mendorong mereka, khususnya yang berada di luar Johor untuk balik mengundi dan menyertai pesta demokrasi,” katanya kepada Bernama.
Mazlan berkata, pengalaman PRN Johor pada 2022 menunjukkan kadar keluar mengundi yang rendah memberi kesan besar terhadap prestasi PH, apabila ramai pengundi luar tidak pulang berikutan suasana pandemik COVID-19 ketika itu.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu berkata, peratusan keluar mengundi pada PRN 2022 hanya kira-kira 50 peratus, sekali gus memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai asas sokongan tempatan atau pengundi putih yang kuat di negeri ini.
“Natijahnya ketika itu BN menang 40 kerusi kerana mempunyai pengundi lokal yang ramai dan asas politik yang besar di Johor,” katanya.
Namun, katanya, situasi berbeza dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada hujung tahun sama, apabila kadar keluar mengundi meningkat kepada kira-kira 75 peratus dan PH berjaya memenangi 14 kerusi Parlimen di Johor.
Beliau berkata, undi popular PH juga meningkat dengan ketara daripada kira-kira 350,000 pada PRN Johor 2022 kepada 830,000 undi pada PRU15.
“Ertinya, peningkatan undi popular PH berlaku sekali ganda daripada sebelumnya dan menyebabkan PH menang 14 kerusi Parlimen. Kalau diterjemahkan dalam bentuk Dewan Undangan Negeri (DUN), logiknya PH boleh menang lebih banyak kerusi,” katanya.
Beliau berkata, PRN Johor kali ini berlangsung dalam keadaan berbeza kerana tiada lagi sekatan pandemik, selain wujud isyarat bahawa pengundi luar mempunyai kecenderungan untuk pulang mengundi.
Menurut Mazlan, kawasan bandar dan separa bandar dijangka menjadi medan penting kepada PH kerana kelompok pengundi di kawasan itu lebih mudah dipengaruhi oleh isu semasa, rekod pentadbiran, dasar ekonomi serta tawaran politik berasaskan keadilan sosial.
“Kebanyakan penyokong PH ialah orang luar, pengundi atas pagar, golongan muda, berpendidikan, mobiliti dan mempunyai akses media sosial yang tinggi. Mereka tertarik dengan naratif PH yang memberi penekanan kepada keadilan kepada rakyat.
“Mereka ini berbeza daripada pengundi yang lebih tertarik kepada sentimen kaum dan agama. Sebab itu, apabila pengundi luar ini pulang, mereka cenderung menyokong PH.
“Gelombang pengundi luar ini boleh menjadi faktor penentu, terutama di kawasan bandar dan separa bandar. Jika mereka pulang dalam jumlah besar, ia boleh mengubah imbangan sokongan di beberapa kerusi tumpuan,” katanya.
Beliau berkata, cabaran utama PH pada hari-hari akhir kempen ialah memastikan penyokongnya benar-benar keluar mengundi, terutama mereka yang menetap di luar Johor tetapi masih berdaftar sebagai pengundi di negeri ini.
-- BERNAMA