Skip to main content

Politik

PRN Johor: Proses penamaan calon berjalan lancar tanpa insiden - Polis

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad KETIKA meninjau proses penamaan calon di pusat penamaan calon DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru. Sumber: Astro AWANI
Ab Rahaman ketika meninjau proses penamaan calon di pusat penamaan calon DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru. - Astro AWANI
Advertisement

JOHOR BAHRU: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di kesemua 56 pusat penamaan calon di negeri ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian atau provokasi sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Beliau berkata seramai 4,832 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor diatur gerak bagi memastikan kawalan keselamatan di semua pusat penamaan calon berjalan lancar.

Selain itu, katanya, seramai 437 pegawai dan anggota trafik turut digerakkan bagi mengurus aliran trafik serta mengiringi pergerakan pemimpin dan penyokong parti politik.

“Setakat ini, sehingga hari ini, kita telah meluluskan sebanyak 26 permit kempen untuk seluruh negeri Johor dan kita percaya akan banyak lagi permit berkempen untuk mengadakan ceramah umum akan diluluskan berdasarkan penilaian Ketua Polis Daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses penamaan calon di pusat penamaan calon DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Ab Rahaman turut menasihatkan semua parti politik dan penyokong agar berkempen secara berhemah serta mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Tegasnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau menimbulkan keadaan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh kempen.

 

Must Watch Video

Advertisement