KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, susulan keputusannya meninggalkan parti semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mohd Puad membuat keputusan sendiri untuk keluar daripada UMNO dan tidak lagi bersama parti itu.
“Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tatatertib. Kita menghargai segala sumbangan yang telah beliau berikan kepada UMNO selama ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa MILO Ke-25 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini, hari ini.
Semalam, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dengan alasan UMNO Johor tidak bebas membuat keputusan, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut mendakwa UMNO Johor "dikawal" oleh Istana dalam membuat keputusan berkaitan dan tidak lebih daripada sekadar menjadi boneka.
Mengulas tindakan beberapa pemimpin yang keluar daripada UMNO, Ahmad Zahid berkata, parti menghormati keputusan yang dibuat oleh setiap individu.
Bagaimanapun, beliau berkata UMNO lebih menghargai kesetiaan ahli lama serta sokongan ahli baharu yang terus bersama parti dan komited memperkukuh kekuatan Barisan Nasional (BN) di Johor.
“Yang penting ialah memberikan sokongan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kesemua 56 calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Johor yang akan diadakan pada 11 hari bulan nanti,” katanya lagi.