MERSING : Kurang dari tempoh 24 jam bagi aktiviti berkempen, calon PN N.32 Endau, Alwiyah Talib menyatakan hasratnya untuk meneruskan segala tugas-tugas yang tergendala di kawasan itu.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang telah dirancang sebelum ini namun ia terhenti akibat daripada pembubaran DUN Johor.

Ujar Alwiyah, isu pembangunan sekolah menengah antara perancangan utamanya di kawasan itu yang perlu disegerakan.

“Kawasan DUN Endau ini cuma ada satu sekolah menengah dan bagi saya dah sampai masa untuk kita bina sebuah lagi sekolah untuk tampung kepadatan pelajar yang semakin bertambah.

“Isu lain yang lebih besar jika ada pasangan suami isteri yang bertugas sebagai guru, maka mereka akan ditempatkan di sekolah sama dan situasi ini memang tak sesuai, tapi takkan kita nak pindahkan mereka ke kawasan jauh,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ceramah umum PN di Endau pada malam Khamis.

Tambah Alwiyah, perkara tersebut juga telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum terbubar DUN.

Selain itu, isu perumahan kos rendah antara yang menjadi perkara tumpuan terhadap mantan DUN Endau itu.

Sebelum ini, beliau telah mengusahakan projek perumahan kos rendah secara sewa beli bagi memastikan golongan B40 khususnya mempunyai kemampuan untuk memiliki kediaman.

Bagaimanapun, pergolakan politik yang berlaku mengakibatkan sebahagian perancangan yang ingin dilaksanakan menjadi tergendala.

Ini termasuk isu jalan raya yang menjadi topik ‘panas’ dalam kalangan penduduk sejak sekian lama.

Ditanya mengenai tempoh kemuncak bagi aktiviti berkempen, Alwiyah berkata akan berusaha untuk mendekati seramai mungkin pengundi di kawasannya bagi mendapatkan kepercayaan.

Tambahnya, beliau yakin pengundi mampu untuk menilai sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum ini bagi tempoh lebih tiga tahun.

“Saya merayu untuk diberi peluang sekali lagi bukan untuk apa, tapi untuk saya teruskan banyak lagi perkara yang belum sempat saya selesaikan.

“Bukan nak bangga diri, tapi saya bersyukur sepanjang saya berkhidmat untuk Endau mereka (pengundi) dapat terima saya seadanya.

“Pengundi tahu apabila saya diberikan amanah, saya akan berusaha sehabis baik,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau menghadiri ceramah umum PN yang disampaikan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abd Latiff Ahmad dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Radzi Jidin.

Alwiyah bakal menerima tentangan daripada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Youzaimi Md Yusof, (PH), Mohamad Fakrulradzi Mahmud, (Pejuang) Noorhisyam Ibrahim, dan calon Bebas, Ismail Don.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Mac untuk hari mengundi.