MERSING: Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau Alwiyah Talib menegaskan soal “rumah” politik bukanlah isu utama, sebaliknya keutamaan beliau adalah untuk terus menjadi penghubung dan mewakili suara rakyat di kawasan itu.
Beliau kekal dengan pendirian untuk terus berkhidmat kepada masyarakat meskipun wujud pelbagai sentimen berhubung kedudukannya yang kembali dicalonkan atas tiket BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
“Saya menawarkan pengalaman, komitmen dan kesungguhan untuk terus membawa pembangunan, memperkukuhkan ekonomi setempat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, dengan sokongan padu seluruh rakyat Endau, kami akan melangkah ke hadapan membina sebuah Endau yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk semua,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama memelihara keharmonian, menghormati proses demokrasi dan mengelakkan sebarang bentuk provokasi.
Alwiyah turut merakamkan penghargaan kepada pucuk kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan untuk sekali lagi menggalas amanah besar itu.
Pada PRN Johor 2022, Alwiyah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi DUN Endau dengan majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.
Beliau sebelum itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket BN sebelum menyertai Bersatu.
Kerusi DUN Endau yang mempunyai 28,767 pemilih berdaftar, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Alwiyah, Saiful Nizam Samat daripada Pakatan Harapan (PH), Hasnul Hakimi Hussien yang mewakili PN dan Jati Awang calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA