JOHOR BAHRU: Tiada gunanya jika bertanding banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, tetapi gagal memenangi jumlah kerusi yang diharapkan.

Demikian pandangan disuarakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Johor.

Katanya, ketika ini, keutamaan BN adalah untuk memenangi sebanyak kerusi yang boleh, dan ia perlu dirunding sebaik mungkin antara parti-parti komponen.

Tambahnya, ketika ini pemimpin parti komponen sudah selesai menyenarai pendek calon masing-masing dan senarai itu akan diteliti Dewan Tertinggi BN untuk memastikan peluang menang lebih tinggi.

“Seboleh mungkin, kawasan yang kita dah kenal pasti, yang kita nak retain (kekalkan) dan yang kita nak regain (dapatkan semula),  itu mesti dirunding baik-baik.

“Keutamaan kita dalam PRN Johor ini adalah untuk menang. Bukan untuk kita bermegah-megah kata kita dapat 40 kerusi tapi tak menang, atau bertanding 15 kerusi satu pun tak menang… tak guna juga.

“Jadi kita melihat kawasan DUN mana, siapa yang kita fikir kalau diwakili oleh sesiapa, dengan calon yang betul dan yang baik, boleh mendatangkan kemenangan,” katanya lagi.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis Santai bersama Tok Mat, di Concorde Club, di sini, hari ini.

Setakat ini, BN yang bakal bergerak solo, akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor dengan pengagihan kerusi akan dirundingkan untuk UMNO, MCA, MIC, serta parti-parti lain di bawah kategori Friends of BN.