MERSING : Pembangunan sektor pelancongan di Mersing perlu dipesatkan dengan mewujudkan program latihan industri terhadap penduduk setempat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy berkata, usaha itu mampu merancakkan lagi program pelancongan di kawasan setempat.

“Kita nak fokus latihan industri pada penduduk setempat misalnya perkhidmatan urutan kaki di tepi pantai, spa, tarikan lukisan, jadi kitab oleh tumpu kepada remaja untuk laksanakan.

“Mereka boleh kerjasama dengan resort untuk tawarkan perkhidmatan jadi tak perlu guna pekerja asing,” katanya ketika ditemui di Pejabat DUN Tenggaroh baru-baru ini.

Katanya lagi, usaha itu bukan setakat mampu merancakkan sektor pelancongan di Mersing malah membuka ruang untuk penduduk tempatan menjana pendapatan yang lumayan.

Ini termasuk tawaran peluang pekerjaan khususnya anak muda tempatan yang mempunyai kemahiran untuk dimanfaatkan kepada pelancong.

Bercakap mengenai isu sektor pelancongan yang tidak membangun di Mersing, Raven berpendapat, faktor kestabilan kerajaan itu penting bagi memastikan perancangan untuk tempoh jangka panjang.

PRN Johor | Mersing belum layak digelar bandar pelancongan

Setakat ini, katanya Mersing telah mempunyai beberapa tumpuan pelancong dan usaha untuk mengembangkan lagi sektor itu akan menjadi tumpuannya selain membuka lagi aktiviti sampingan bagi merancakkan lagi sektor berkenaan.