POKOK SENA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyatakan tindakan menuntut bilangan kerusi yang lebih besar berbanding dengan parti-parti lain adalah perkara biasa yang menjadi adat dalam proses rundingan untuk menghadapi pilihan raya termasuk melibatkan PH dan BN di negeri itu.

Bagaimanapun, jelas bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan, perkara itu boleh diselesaikan dengan kedua-dua pihak mencari titik persamaan selain mengetepikan segala perbezaan yang ada.

Beliau memaklumkan, bagi peringkat negeri Kedah, titik persamaan yang ada antara PH-BN adalah merampas semula negeri itu dari tangan Perikatan Nasional (PN) agar pentadbiran kerajaan negeri selari dengan Persekutuan.

"Semua (parti yang berunding akan) tuntut kerusi lebih, semua parti (akan) tuntut kerusi lebih (menjelang PRN kali ini) itu (sebenarnya) adat perundingan, semua akan tuntut lebih,

"(Situasi) itu saya (sangat) faham dan (telah) beritahu kawan-kawan jangan hiraukan (dan perbesarkan berkaitan) orang (yang bekerjasama dengan kita) hendak tuntut (kerusi yang) lebih, sebab kita pun nak tuntut lebih," katanya.

Mahfuz berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ramah Mesra Pengerusi LPP Malaysia bersama ahli Peladang di Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Pokok Sena pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan proses rundingan kerusi membabitkan PH dan BN hanya berbaki tiga atau empat kerusi sahaja lagi dan akan dimuktamadkan minggu hadapan.

Tegasnya, rundingan berkenaan juga tidak akan menyentuh mengenai kerusi-kerusi penyandang yang menang pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), dimana ianya akan kekal ditandingi parti-parti berkenaan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga mengesahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu juga disahkan akan ditandingi parti itu meskipun wakil rakyat di DUN berkenaan telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada 5 Jun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjangkakan pembahagian kerusi antara gabungan berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH) melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah hampir 'sama-rata'.

Menurut beliau, perbincangan melibatkan kedua-dua gabungan berkenaan melibatkan wakil daripada BN dan PH yang seimbang di kesemua 15 Parlimen di negeri Jelapang Padi itu.