SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah menyerahkan tanggungjawab kepada Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari untuk meneliti kemungkinan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, yang memaklumkan Amirudin telah mengadakan pertemuan dengannya bagi membincangkan perkara berkenaan.
"Itu Amir (Amiruddin), kita dah bagi amanah kepada Amir," kata Anwar kepada pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia, di sini, pada Selasa.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Pengerusi PH menjelaskan, pertemuan beliau dengan Menteri Besar Selangor itu lebih tertumpu kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA), dan bukannya soal politik.
"Jumpa MB Selangor pasal Sukan Malaysia (SUKMA). Masa sukan mana ada masa politik," katanya.
Ditanya mengenai peluang kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN Melaka akan datang, Anwar memberikan isyarat positif bahawa kerjasama itu sememangnya menjadi amalan yang biasa.
"Ruang kerjasama... ini biasa kerjasama. Ini semua bekerjasama," ujarnya.
Pada Isnin, Fahmi mengesahkan Amirudin telah bertemu Anwar bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara PH dan BN menjelang PRN Melaka.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Jawatankuasa Pilihan Raya PH akan memperhalusi potensi kerjasama dengan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri tersebut.
Menurut beliau, jawatankuasa itu dipimpin Amirudin bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.