MELAKA TENGAH: Kekeliruan demi kekeliruan masih timbul tentang prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga mengakibatkan kesukaran kepada semua parti politik yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Terbaharu, Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa, pihak polis telah melarang pekerja parti, memakai baju dengan logo parti di tempat awam, serta mengehadkan tiga orang sahaja untuk melakukan kerja memacak bendera.

Tegas Ahli Parlimen Kota Melaka itu lagi, pihak berkuasa seolah-olah membuat interpretasi sendiri, sedangkan dua perkara itu langsung tidak tersenarai dalam SOP SPR.

“Petugas kempen kita pakai pakaian yang ada lambang Harapan, telah ditegur oleh polis mengatakan mereka tak boleh pakai baju lambang parti. Ini satu keputusan, satu arahan yang amat tidak munasabah. Bagaimana pihak polis boleh larang daripada petugas pakai baju T ada lambang parti?

“Kedua, apabila petugas kita pergi pacak bendera, dihadkan hanya sekadar tiga orang pergi pacak. You pacak bendera, billboard, sudah pasti perlu tenaga kerja lebih tiga orang. Apakah logiknya untuk hadkan tiga orang saja, sedangkan semua tapak pembinaan, perumahan ada 200 hingga 300 pekerja?” soalnya lagi.

Khoo berkata, PH mengharapkan penjelasan segera daripada pihak SPR dan Polis Melaka, selain mendakwa wujud berat sebelah dalam penguatkuasaan terhadap parti-parti tertentu.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR juga perlu menjelaskan tentang aduan pengundi Melaka di luar negara, yang mendakwa permohonan mereka masih belum diproses sehingga hari ini.

Khoo berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku, kerana ia boleh menidakkan hak rakyat Malaysia untuk terlibat dalam proses demokrasi di negara ini.

“Kita dapat aduan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, mereka ada cuba mendaftar sebagai pengundi pos, sebelum tarikh tamat (1 Nov), tetapi sehingga hari ini, SPR tak jawab kepada permohonan mereka.

“Kita mahu SPR memberi jawapan bagaimana keadaan ini boleh berlaku, bagaimana proses semak dan imbang terhadap proses tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga aduan di mana pengundi pos yang berjaya mendapat sampul masing-masing, tidak diberitahu ke mana sepatutnya mereka menghantar kembali sampul berkenaan.

SPR dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, sebanyak 7,601 kertas undi pos telah dikeluarkan mengikut Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRN Melaka.

Menurut kenyataan itu, 6,871 pengundi pos berada dalam kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli / Pegawai SPR, Polis, Tentera, dan Petugas Media); 511 kategori 1B (rakyat Malaysia di luar negara); 113 kategori 1C (Agensi dalam sektor keselamatan & kesihatan); dan 106 pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara.