MELAKA: Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan parti itu mengambil keputusan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.

Jelasnya, ketika ini rundingan sedang diadakan bersama Pakatan Harapan (PH).

"Muda telah buat pendirian tetap untuk bertanding dalam PRN dan kita akan berunding dengan parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.

"Kita nak letak nama Muda untuk bertanding dalam semangat membawa perubahan jelas itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bandar Melaka pada Rabu.

Tambah Syed Saddiq lagi, turut dirunding berkaitan logo yang akan digunakan dalam PRN Melaka itu nanti.

Bagaimanapun katanya, pegangan Muda adalah untuk membawa politik baharu di Negeri Melaka dan menolak politik 'katak' serta tidak berintergriti.

"Perkara itu akan kita runding bbrsama blok pembangkang dan akan diumumkan bersama selepas ini. Itu saya rasa kita umumkan bersama (kawasan DUN), rundingan itu telah bermula beberapa kali dan akan kita umumkan bersama.

"(Rundingan bersama PH?) Ya, perkara itu sedang kita bincangkan dan saya dimaklumkan PH bincangkan logo apa bersesuaian pertandingan ini, jelas mana mana gabungan kita sertai, kita perlu tekankan politik rakyat berbilang bangsa dan agama, politik moderat dan politik khidmat.

"Kita tolak politik 'katak', tidak berintergriti dan bersandarkan pangkat dan jawatan semata mata," jelasnya lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?

Mengulas mengenai calon Muda pula, kata Ahli Parlimen Muar itu, calon yang akan diketengahkan perlu mempunyai rekod cemerlang dalam berkhidmat kepada rakyat. 

"Kita memang calon dinamik Muda berpengalaman dan jelas ada track record berkhidmat contoh Ketua Muda Melaka, yang telah gerakkan pelbagai aktiviti membantu dan membela golongan susah di Melaka.

"Mereka yang sebelum ini tidak pernah sertai lanskap politik, tetapi ada hati berkhidmat tanpa jawatan dan pangkat, ini adalah masa mereka menyerahkan diri berkhidmat untuk mengubah Melaka, mengubah Malaysia," jelas Syed Saddiq.

PRN Melaka dijangka bermula 8 November depan dengan hari penamaan calon, diikuti 16 November hari pengundian awal dan 20 November ditetapkan hari mengundi melibatkan 495,196 orang pengundi.