Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: PH, Bersatu muktamad kerjasama?

PHbersatu_Astro AWANI
Pertemuan yang dijangka berlangsung di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah itu difahamkan turut menyentuh cadangan kerjasama melibatkan PH, Bersatu dan rakan di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR). - Astro AWANI
Advertisement

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengadakan pertemuan malam ini, dipercayai bagi membincangkan perkembangan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pertemuan yang dijangka berlangsung di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah itu difahamkan turut menyentuh cadangan kerjasama melibatkan PH, Bersatu dan rakan di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bagi menghadapi PRN Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bagi PH, pertemuan itu dijangka disertai Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari serta Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim, dan Pebgerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong.

Sementara itu, Bersatu diwakili Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Sri R. Sanjeevan dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Selain itu turut hadir ialah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Ketua Penerangan Bersatu Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim ketika ditemui memaklumkan pertemuan itu hanyalah jamuan makan malam tertutup yang diadakan bagi sesi ‘suai kenal’.

“Tak ada bincang apa pun, hanya jamuan makan malam sahaja untuk sesi suai kenal,”katanya ringkas.

Sebelum ini, Adly mengesahkan PH Melaka sedang memuktamadkan rundingan dengan parti yang mempunyai aspirasi sama, termasuk Bersatu, bagi membentuk kerjasama PH Plus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang bentuk kerjasama hanya akan diumumkan selepas rundingan selesai.

Malah, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengesahkan perbincangan dengan Bersatu telah diadakan, namun belum ada keputusan mengenai bentuk kerjasama politik bagi PRN Melaka.

Anwar berkata perkara itu diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari untuk dibincangkan.

Dalam perkembangan terbaharu, PH Melaka turut mengesahkan pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah di peringkat negeri telah selesai.

Adly bagaimanapun berkata susunan akhir masih perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH, PH negeri serta Amirudin sebelum dimuktamadkan selain memaklumkan strategi PH menghadapi PRN Melaka akan diumumkan selepas proses berkenaan selesai.

Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 27 Disember depan.

Must Watch Video

Advertisement