KLANG: Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata persiapan jentera gabungan itu telah berjalan dengan baik sejak kira-kira dua bulan lepas.
"Jentera kita sudah bergerak dan bersedia... cuma penyelarasan, jajaran dan kesefahaman itu sahaja belum lagi… insya-Allah, dalam masa terdekat iaitu seminggu atau dua minggu lagi kita umum calon-calon yang akan bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Inisiatif Tuaian Anak Harapan TAWAS (TUAH) di Pusat Konvensyen KSL di sini hari ini.
Pada 27 Sept lepas, PH Melaka mengesahkan pembahagian kerusi antara parti komponennya di peringkat negeri bagi menghadapi PRN telah selesai.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari dilaporkan berkata susunan terakhir bagaimanapun akan dimuktamadkan selepas perbincangan antara Majlis Presiden PH, PH negeri dan Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya PH.
Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama PH dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRN, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata gabungan tersebut masih terbuka untuk mengadakan perbincangan sekiranya terdapat ruang ke arah kerjasama berkenaan.
"Kalau ada ruang, kita berbincang... jika tidak, kita bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan kesefahaman yang ada," katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan Dewan Undangan Negeri dibubarkan berkuat kuasa pada 23 Sept selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
-- BERNAMA