Skip to main content

Politik

PRN Melaka: ‘Saya tidak tahu UMNO kuat atau tidak’ - Hadi Awang

Pas Melaka -- FB Pas Negeri Melaka
Dari kiri, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; dan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail pada Majlis Makan Malam Amal Pas Negeri Melaka di Ayer Keroh, semalam. - Gambar/ Facebook Pas Negeri Melaka
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pas masih membincangkan pendekatan politik terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk menilai kekuatan UMNO di negeri itu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, strategi Pas bersifat fleksibel dan boleh berbeza mengikut senario politik di setiap negeri.

“Melaka saya tidak tahu UMNO kuat atau tidak. Ini kita bincanglah, masih berbincang lagi. Terengganu dan Kelantan ada pendekatan masing-masing. Jangan bimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Pas Negeri Melaka di Ayer Keroh, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas membawa agenda perpaduan ummah bagi mengukuhkan penguasaan politik Melayu-Islam bersama masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem.

Dalam ucapan sama, beliau mengimbas pendekatan Pas pada PRN Johor dengan menggambarkan parti itu sebagai “penjaga gol” yang membantu kemenangan UMNO.

Menurutnya, penyokong Pas ketika itu diarahkan mengundi calon parti berkenaan, selain MCA atau MIC di kawasan yang tidak ditandingi mereka.

“Akhirnya UMNO menang besar dan kita kosong. Tetapi tidak mengapa kerana kita menjaga gol. Biar UMNO yang menjaringkan gol di Johor,” katanya lagi.

Bagi Negeri Sembilan pula, Abdul Hadi menggambarkan Pas sebagai “penyerang” dalam usaha menyaingi DAP dan parti-parti sekutunya.

Beliau turut meminta ahli Pas mematuhi sebarang keputusan politik yang bakal ditetapkan kepimpinan menerusi syura dan mesyuarat parti.

Menurutnya, setiap keputusan yang telah dimuktamadkan perlu dilaksanakan oleh seluruh ahli dan jentera Pas.


 

Must Watch Video

Advertisement