KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah hairan susulan manifesto yang dikemukakan oleh Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak menjadikan isu air sebagai keutamaan.

Menurut beliau, perkara itu dilihat sama sekali bercanggah dengan perjuangan BN-PH yang sering memperbesarkan isu air di negeri itu.

"Tiba-tiba dalam manifesto mereka langsung tidak sebut apa perancangan dan usaha yang hendak dibuat untuk selesaikan masalah air di Kelantan.

"Sepatutnya itulah yang menjadi keutamaan pada manifesto BN-PH," katanya ketika diminta mengulas mengenai tawaran manifesto BN-PH pada PRN ini.

Mohd Amar memberitahu, apa tujuan BN-PH sering menyerang, mengkritik isu air tetapi tiba-tiba dalam manifesto tidak disebut langkah untuk mengatasi masalah itu.

Menurut beliau, setakat menurunkan kadar cukai tanah, premium tanah sebanyak 50 peratus baginya ia bukan benda baharu.

Tambahnya, di bawah pemerintahan Pas sebelum ini sudah beberapa kali dibuat seperti tunggakan bil tanah diberi diskaun sehingga 50 peratus.

"Ada yang cukai pintu kita hapus kira. Semua itu kita sudah buat, bukan satu benda baharu," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan BN-PH menggariskan empat teras utama dengan 34 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat di Kelantan secara menyeluruh dan inklusif sekiranya diberi mandat mentadbir negeri ini pada PRN 12 Ogos ini.

Antaranya yang berkaitan air ialah, menghapuskan tunggakan bila air Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik (kediaman). - Sinar Harian