Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Keputusan MCA tidak letak calon di tiga kerusi tradisi "bantu" kemenangan DAP - Loke

SEREMBAN, 19 Julai -- Setiausaha Agung DAP dan juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N01 Chennah Anthony Loke bercakap ketika sidang media pada sesi walkabout bersama calon Pakatan Harapan di Pasar Besar Seremban hari ini.Turut sama calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Mambau Lee Kai Yet (kanan) dan calon N22 Rahang Siau Meow Kong.
Setiausaha Agung DAP dan juga calon DUN Chennah Anthony Loke bercakap ketika sidang media pada sesi walkabout bersama calon Pakatan Harapan di Pasar Besar Seremban hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan keputusan MCA tidak meletakkan calon di tiga kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai tindakan yang secara tidak langsung "membantu" DAP mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan.

Beliau berkata kerusi itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak, Mambau dan Lukut yang diberi laluan kepada calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding.

"Saya hendak mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana begitu ‘murah hati’ membantu DAP dengan tidak bertanding.

"Kalau kita (DAP) kalah pun kita akan lawan, tetapi MCA sangat bermurah hati, jadi terpulang kepada ahli MCA untuk menilai," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra bersama-sama enam calon PH di Pasar Besar Seremban, di sini hari ini.

Calon berkenaan ialah Ho Weng Wah (Temiang), Lee Kai Yet (Mambau), Siau Meow Kong (Rahang), Nicole Tan (Bukit Kepayang), S. Mugunthan (Seremban Jaya) dan Chew Seh Yong (Lobak).

Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata keputusan MCA tidak bertanding di kerusi tradisi itu juga ialah sebahagian daripada percaturan politik bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh pertandingan satu lawan satu di beberapa kerusi lain melalui persefahaman dengan PN.

"Dalam percaturan ini, MCA mengorbankan tiga kerusi tradisinya untuk pertukaran supaya PN tidak meletakkan calon di beberapa kawasan yang ditandingi BN. Matlamatnya ialah mengelakkan perpecahan undi dan memudahkan pemindahan sokongan," katanya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata daripada tujuh kerusi ditandingi MCA – Chennah, Bahau, Nilai, Temiang, Rahang, Chuah dan Repah – pada PRN kali ini, hanya DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara beliau dengan MCA.

Penyandang DUN Chennah itu yakin Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP akan mendapat sokongan daripada pengundi pelbagai kaum bersandarkan rekod khidmat bakti yang dicurahkannya di kawasan itu sejak 2013.

Di DUN Chennah, Loke yang juga Menteri Pengangkutan dicabar Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan Siow Kong Choon yang mewakili BN.

Dalam pada itu, beliau berkata DAP yakin akan dapat mempertahankan kesemua 11 kerusi yang ditandingi, sekali gus membantu PH membentuk kerajaan negeri.

"PH ialah pilihan terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan berbanding gabungan daripada BN dan PN. Jadi, saya menyeru pengundi di Negeri Sembilan agar memberikan sokongan kepada calon-calon PH yang bertanding di seluruh negeri,” katanya.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Sebanyak 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa, manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement