Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Rakyat perlukan kerajaan lebih berwibawa, berpengalaman - Ahmad Zahid

AhmadZahid
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN, di Seremban, pada Rabu malam. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Negeri Sembilan mesti kembali dipimpin oleh sebuah kerajaan yang lebih berwibawa, berpengalaman dan diyakini rakyat bagi membawa negeri itu melangkah lebih jauh.

Ujarnya, BN bertekad memastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh parti itu bagi membawa negeri itu ke tahap yang lebih baik.

Tambahnya, semangat kemenangan BN di Johor juga diharap dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan menerusi apa yang disifatkan sebagai “gelombang biru”.

“Kita hadir bagi memastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh Barisan Nasional. Kita mesti pastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh sebuah kerajaan yang lebih berwibawa, berpengalaman, diyakini rakyat dan mampu membawa negeri ini melangkah lebih jauh.

“Insya-Allah, kita akan membawa semangat gelombang biru dari negeri Johor ke Negeri Sembilan. Salam 48. Insya-Allah, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, kita kembalikan kemenangan kepada Barisan Nasional,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN, di sini, pada Rabu malam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh jentera BN agar bersatu hati dan mengetepikan sebarang perbezaan demi memastikan kemenangan parti itu pada hari pengundian, 1 Ogos nanti.

Beliau berkata, ini bukan masanya untuk ahli parti berpecah-belah atau berbalah sesama sendiri kerana masa depan BN kini menjadi taruhan.

“Saudara-saudari sekalian, inilah amanah yang sedang menanti kita dan inilah perjuangan yang mesti kita pikul bersama. Ini bukan masanya untuk kita berperang sesama sendiri. Ini bukan masanya untuk kita berpecah-belah.

“Kemenangan tidak akan diperoleh dengan mudah. Kemenangan hanya akan menjadi milik mereka yang berani berjuang dan bertahan hingga ke garisan terakhir,” katanya lagi.

Menurutnya, rakyat Negeri Sembilan mahukan sebuah kerajaan yang mampu membela nasib mereka, merancakkan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan, membuka peluang kepada anak muda serta memastikan kesejahteraan setiap keluarga terus diperkasakan.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, BN memenangi 14 kerusi manakala Pakatan Harapan 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian 1 Ogos. 

Must Watch Video

Advertisement